Setiap negara mempunyai perayaan yang tersendiri dari pelbagai adat kuno yang masih diraikan sehingga hari ini. Ada adat yang nampak menyeronokkan dan ada juga beberapa perayaan agak ganas dan menakutkan. Salah satunya adalah Perayaan Pasola yang diadakan di Sumba, Indonesia!

Perkataan Pasola ini berasal dari ayat Sola atau Hola yang bermaksud sejenis lembing kayu yang dipakai untuk dilempar kepada pihak musuh semasa sedang menunggang kuda. Ia kemudiannya telah dijadikan satu permainan dan diberi nama Pasola.

Permainan Pasola ini bagi melihatkan ketangkasan dua kumpulan dalam melempar lembing kayu sambil menunggang kuda. Permainan ini kemudiannya telah dijadikan salah satu ritual penting dalam perayaan Pasola yang disambut oleh masyarakat Sumba yang menganuti agama kuno, Marapu. Perayaan ini biasanya diadakan di empat kampung di Sumba Barat. Empat kampung tersebut adalah Kodi, Lamboya, Wonokaka dan juga Gaura. Perayaan ini biasanya diadakan secara bergilir antara empat kampung ini dan bermula dari bulan Februari sehingga bulan Mac setiap tahun.

Menurut cerita rakyat Sumba, Pasola ini mempunyai kaitan dengan Rabu Kaba iaitu tentang seorang wanita yang sangat cantik dan menetap di Kampung Waiwuang. Dia dikatakan telah berkahwin dengan salah seorang pemimpin kampung tersebut yang bernama Umbu Amahu

Dijadikan cerita, Umbu Amahu bersama dua orang pemimpin lain telah memberitahu yang mereka bertiga akan kelaut untuk mencari sumber makanan namun sebaliknya mereka telah pergi ke Sumba Barat untuk mengambil padi. Disebabkan mereka telah pergi terlalu lama, isteri Umbu Amahu dan masyarakat Kampung Waiwuang menyangka sesuatu telah terjadi kepada mereka semasa dilaut dan mereka telah mati lalu masyarakat kampung tersebut telah melakukan upacara berkabung.

Dikhabarkan selepas kejadian itu, Rabu Kaba telah jatuh hati dengan seorang pemuda dari Kampung Kodi. Pemuda yang bernama Teda Gaiparona ini kemudiannya telah bercadang untuk berkahwin dengan Rabu Kaba namun perkahwinan ini tidak direstui oleh kedua-dua keluarga. Mereka kemudiannya telah mengambil keputusan untuk kahwin lari.

Tidak lama selepas mereka berkahwin, suami terdahulu Rabu Kaba iaitu Umbu Amahu telah pulang semula ke kampung mereka. Umbu Amahu dapat tahu yang isterinya telah kahwin lari dengan Teda Gaiparono dan dia telah mengambil keputusan untuk menjejaki mereka berdua.

Namun selepas dia berjaya menjejaki isterinya, Rabu Kaba tidak mahu pulang semula ke pangkuan Umbu Amahu kerana sudah jatuh hati dengan Teda Gaiparono. Selepas puas memujuk dan berbincang, Umbu akhirnya terpaksa melepaskan Rabu Kaba dan membiarkan dia berkahwin dengan Teda.

Teda kemudiannya telah diminta membayar semula duit hantaran yang telah dibayar oleh keluarga Umbu sebagai ganti rugi. Selesai saja upacara perkahwinan antara Teda dan Rabu Kaba, Umbu telah berpesan kepada masyarakat Waiwuang untuk mengadakan Perayaan Pasola bagi melupakan kesedihan mereka akibat kehilangan gadis cantik, Rabu Kaba.

Terdapat beberapa ritual yang dijalankan semasa perayaan Pasola. Sebelum perayaan bermula, mereka akan mengadakan Korban Darah terlebih dahulu. Selalunya mereka akan menyembelih haiwan seperti ayam, kerbau, khinzir dan juga anjing. Adakalanya, mereka juga turut mengorbankan manusia untuk mendapatkan nasib yang lebih baik.

Selepas upacara Korban Darah diadakan, mereka akan meneruskannya dengan upacara Pajura pada malam harinya. Pajura ini merupakan acara tinju yang mengumpulkan anak muda dari pelbagai puak di kawasan yang sangat gelap. Pemuda-pemuda ini akan mengikat tangan mereka dengan tulang dan tanduk haiwan bagi memberikan kekuatan berlawan dengan pemuda lain.

Pemuda-pemuda ini kemudiannya akan berlawan sesama sendiri dari jam 12 tengah malam sehingga jam 4 pagi tanpa diterangi dengan apa-apa cahaya. Mereka juga dilarang untuk membawa obor dan juga lampu semasa mengadakan upacara ini.

Selepas itu, mereka akan meneruskan dengan upacara Nyale. Dalam upacara ini, seluruh masyarakat setempat akan berkumpul di tepi pantai dan cuba untuk menangkap cacing laut. Upacara ini sangat penting kerana cacing laut yang mereka tangkap ini akan menunjukkan hasil tuai mereka pada tahun tersebut. Andaikata cacing laut yang mereka dapat sangat kecil dan kurus, besar kemungkinan hasil tanaman mereka akan jadi sangat teruk pada tahun tersebut.

Akhirnya tibalah ke upacara terakhir iaitu upacara Pasola. Setiap pahlawan yang berani akan menunggang kuda sambil membawa satu lembing kayu. Lembing ini kemudiannya akan dilempar kepada musuh-musuh mereka sambil menunggang kuda dengan laju. Walaupun lembing kayu yang digunakan tumpul, ia mampu untuk mematahkan tulang dan mengakibat kematian kepada mereka yang terkena lembing tersebut.

Namun masyarakat setempat percaya, dengan lebih banyak korban darah yang berlaku semasa upacara ini, ia akan mengakibatkan hasil tuai mereka semakin banyak. Walaupun setiap tahun pihak polis akan berada di upacara ini, mereka tidak dapat membuat apa-apa kerana andaikata berlaku kematian semasa upacara ini berlangsung, orang tersebut tidak boleh didakwa atas kesalahan membunuh.

Nasib baiklah kat Malaysia takda upacara macam nie…kalau ada tak tahu nak cakap apa da..apa pula komen anda tentang perayaan macam nie?..jom kongsi kat ruangan komen.

Ada berita menarik untuk dikongsi? Sila emailkan ke syafirajbiz@gmail.com atau pm admin syafiraj & jangan lupa like page syafiraj DI SINI

2 thoughts on “Perayaan Ganas Masyarakat Sumba”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!